SUNDERLAND, England: Enam bulan selepas Everton melepaskan Dominic Calvert-Lewin yang sering dibelenggu kecederaan secara perpindahan percuma, penyerang England itu kini menikmati antara rentak jaringan terpanas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjaringkan gol buat perlawanan keenam berturut-turut ketika Leeds seri 1-1 dengan Sunderland, awal pagi tadi.
Jaringan itu terhasil daripada gerakan serangan balas kemas yang menyaksikan setiap pemain Leeds menyentuh bola, sekali gus menjadikan Calvert-Lewin pemain pertama kelab itu menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga utama berturut-turut sejak John McCole pada musim 1959-60.
Ia satu kebangkitan luar biasa buat pemain yang reputasinya berubah daripada penjaring prolifik kepada pelanggan tetap senarai kecederaan dalam beberapa tahun terakhir bersama Everton di Goodison Park.
“Saya fikir apabila anda menemui rentak dan momentum yang baik, masa yang tepat akan datang bersama,” kata Calvert-Lewin kepada Sky Sports.
“Sebagai penyerang tengah, ada kalanya anda membuat banyak larian tetapi tidak mendapat bola. Banyak perkara perlu seiring untuk menghasilkan gol. Syukur ketika ini prestasi saya baik, saya berada di posisi tepat dan saya menjaringkan gol.”
Pernah dianggap sandaran ideal England kepada Harry Kane selepas menjaringkan 21 gol dalam satu musim bersama Everton, prestasi Calvert-Lewin merudum apabila lebih kerap menjadi tajuk utama kecederaan berbanding jaringan.
Musim terakhirnya bersama Everton hanya menghasilkan tiga gol sebelum pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan kelab Merseyside berkenaan selepas sembilan tahun secara perpindahan percuma pada Jun lalu, keputusan yang disifatkannya sebagai “amat sukar.”
Namun ketika kelab lain melihat penyerang yang merosot, Leeds pula melihat potensi yang belum digilap apabila menawarkannya kontrak tiga tahun.
Walaupun mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan hanya satu gol daripada 11 penampilan awal, Calvert-Lewin kini menemui sentuhan terbaik di bawah kendalian Daniel Farke.
Sejak akhir November lalu, dia sudah menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan berturut-turut, termasuk menentang Manchester City, Chelsea dan Liverpool.
Malah Kane sendiri tidak pernah menjaringkan gol dalam enam perlawanan EPL berturut-turut, manakala rekod Calvert-Lewin itu menjadi yang terpanjang oleh penyerang England sejak Jamie Vardy melakukannya dalam lapan perlawanan berturut-turut pada 2019.
“Segala-galanya terasa lancar ketika ini,” tegasnya. “Saya fikir pemain di sekeliling saya mengambil sedikit masa untuk memahami permainan dan kelebihan saya.
“Tetapi saya suka berfikir apabila mendapat hantaran dan bola sampai kepada saya, saya amat berbisa di dalam kotak penalti.”
Calvert-Lewin kali terakhir menyarung jersi England pada Euro 2021, apabila hanya membuat dua penampilan sebagai pemain gantian dengan jumlah 18 minit permainan.
Namun sekiranya dia mampu mengekalkan atau meningkatkan prestasi semasanya, ia berpotensi memeningkan kepala Thomas Tuchel apabila tiba masanya untuk menyenaraikan skuad England ke Piala Dunia tahun depan.

