Zirkzee sudah ‘katakan ya’ kepada Roma

LONDON: Joshua Zirkzee dilaporkan sudah “mengatakan ya” kepada AS Roma dan akan meninggalkan Manchester United untuk menyertai gergasi Serie A itu pada bulan Januari, menurut laporan media Itali.

Zirkzee, 24, tiba di Old Trafford dengan penuh sensasi pada musim panas 2024, apabila United menandatanganinya dengan nilai £36.5 juta (RM197 juta) menerusi kontrak lima tahun — perpindahan besar pertama dalam era Sir Jim Ratcliffe.

Ketika itu di bawah kendalian Erik ten Hag, kehadiran Zirkzee menandakan hasrat United untuk memperkukuh barisan serangan yang bergelut, selepas hanya menjaringkan 57 gol Liga Perdana Inggeris dalam kempen 2023–24.

Namun, penyerang itu hanya menjaringkan tujuh gol dalam 49 penampilan musim lalu dan jarang diturunkan di bawah kendalian pengurus Red Devils, Ruben Amorim, yang menggantikan Ten Hag pada November lalu.

Seperti yang pernah didedahkan oleh Daily Mail Sport, kekurangan minit permainan mendorong pemain antarabangsa Belanda itu untuk meneroka pilihan lain ketika beliau berusaha mendapatkan masa bermain secara konsisten menjelang Piala Dunia tahun depan.

Menurut La Gazzetta dello Sport, pemain Belanda itu sudah mengadakan perbincangan positif dengan Pengarah Sukan Roma, Ricky Massara, serta ketua jurulatih Gian Piero Gasperini, yang akhirnya membawa kepada persetujuannya untuk menyertai kelab tersebut.

Gasperini dilaporkan “memberi jaminan” kepada Zirkzee bahawa beliau akan sesuai dengan sistem 3-4-2-1 kendaliannya.

Akhbar Itali itu turut menambah bahawa Zirkzee dijangka menyertai Roma menjelang pertengahan Januari, selepas United mendapatkan semula pemain seperti Amad Diallo dan Bryan Mbeumo yang pulang ke kelab selepas Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Namun, urusan perpindahan ini dijangka tidak semudah yang disangka, selepas Amorim menegaskan bahawa pemain hanya boleh meninggalkan Old Trafford sekiranya pengganti dibawa masuk.

“Ia akan menjadi sukar untuk seseorang meninggalkan kelab jika kami tidak mendapatkan pengganti,” kata pengurus United itu Rabu lalu. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *